GPS tunaikan janji, penduduk Rumah Amban Danis Libas nikmati bekalan elektrik

SARATOK: Penduduk di Rumah Amban Danis Libas, Sungai Antu Krian kini menikmati bekalan elektrik 24 jam selepas projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) berjaya disiapkan.

Projek tersebut sekali gus membawa keselesaan baharu kepada komuniti setempat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, penyediaan kemudahan itu merupakan langkah penting dalam meningkatkan kualiti hidup penduduk luar bandar yang sebelum ini berdepan keterbatasan akses elektrik.

“Melalui peruntukan RTP, penduduk kini dapat menarik nafas lega apabila menikmati bekalan elektrik yang lebih stabil, selamat dan mampu memudahkan urusan harian,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa usaha memperluas kemudahan asas seperti bekalan elektrik dan air terawat di seluruh kawasan DUN Kalaka akan terus menjadi fokus utama.

“Matlamat kita memastikan semua penduduk di DUN Kalaka menikmati kemudahan asas sepenuhnya menjelang tahun 2030,” ujarnya.

Menurut beliau, pelaksanaan projek oleh Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Sarawak Energy Berhad (SEB) menunjukkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memperkukuh pembangunan luar bandar.

“Ini membuktikan bahawa Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sentiasa mendengar keluhan rakyat, mengenal pasti masalah dan mengambil tindakan untuk menyelesaikannya,” tambah Mohamad Duri.