KUCHING: Projek menaik taraf bekas jalan pembalakan di kawasan Telang Usan dan Mulu, Baram, bakal merangkumi jarak lebih kurang 30.21 kilometer (km).
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Ir. Aidel Lariwoo, berkata projek itu juga akan melibatkan pembinaan sembilan jambatan.
“Bagi mempercepatkan pelaksanaan, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak telah menyusun strategi untuk membahagikan tender projek kepada dua fasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dato Dennis Ngau, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini, hari ini.
Aidel menambah, JKR Sarawak kini sedang memuktamadkan reka bentuk untuk fasa satu dan dijangka membuka tender pada suku pertama tahun 2026.
