KUCHING: Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM425 juta bagi menaik taraf infrastruktur bekalan elektrik di Lundu, Lubok Antu, Bahagian Betong, Sungai Asap dan Lawas, sekali gus meningkatkan keupayaan sistem tenaga negeri.
Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy dan PETROS), Datuk Ibrahim Baki berkata, daripada jumlah itu, RM98 juta diperuntukkan khusus untuk projek di Lundu.
‘’Ia termasuk pembinaan Talian Monopole 33kV dari Pencawang 33kV Stenggang ke Pencawang 33kV CENTEX Lundu dan Pencawang 33kV Kampung Stenggang, masing-masing disasarkan siap pada suku keempat 2031 dan 2030,’’ katanya.
Beliau menjelaskan perkara itu ketika menjawab soalan ADUN Tanjung Datu, Azizul Annuar Pehin Sri Adenan Satem mengenai usaha menaik taraf rangkaian kuasa Lundu–Sematan pada Persidangan DUN Sarawak Ke-19 hari ini.
Selain itu katanya, projek substesen 33kV kedua dari Lundu ke Sematan bernilai RM11 juta kini sedia untuk dilaksanakan selepas dianugerahkan kepada kontraktor layak pada November 2025.
Kos projek ini sejajar dengan pembinaan kabel dwi-litar 33kV dari Tondong ke Bau yang telah siap pada Februari 2022.
Beliau menambah perancangan bersepadu sistem 33kV dan 132kV di Lundu dibuat berdasarkan pertumbuhan beban semasa dan jangka panjang.
‘’Sistem 33kV sedang dibangunkan mengikut keperluan lima tahun akan datang, manakala sistem 132kV akan dirancang kemudian bagi memenuhi permintaan lebih tinggi.
‘’Beberapa projek lain termasuk pemasangan kabel Tondong ke Kampung Stenggang dan Tondong ke Bau Junction bernilai RM43 juta, serta pemasangan bank kapasitor 2.5 MegaVAR di Pencawang 33kV CENTEX dan Lundu bernilai RM3.6 juta, kesemuanya dijangka siap pada suku keempat 2026,’’ katanya.
