Sarawak pastikan kebajikan warga emas terjaga

KUCHING: Sarawak terus memperkukuh perlindungan sosial untuk warga emas sejajar dengan perubahan demografi negeri yang semakin menua.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Rosey Yunus, berkata kerajaan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) menyediakan pelbagai bantuan dan program bagi memastikan kebajikan warga emas terpelihara. Antaranya, Bantuan Warga Emas (BWE) yang memberikan RM600 sebulan bagi membantu kos sara hidup asas.

“Kerajaan komited memastikan warga emas menerima sokongan sewajarnya, sama ada dari segi bantuan tunai atau rawatan kesihatan asas. Setakat 30 Oktober 2025, seramai 156,193 warga emas telah menikmati kemudahan kesihatan dengan perbelanjaan RM39.7 juta di 263 klinik panel berdaftar di seluruh negeri,” katanya ketika menjawab pertanyaan ADUN Tebedu, Dr Simon Sinang Bada, pada Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat DUN Sarawak Ke-19.

Selain itu, Bantuan Ihsan Kematian (BIK) turut disediakan bagi membantu waris menampung kos pengebumian, dengan 27,291 penerima menerima bantuan bernilai RM75.3 juta setakat Oktober 2025.

Dua Rumah Seri Kenangan (RSK) di Kuching dan Sibu pula menyediakan penjagaan penuh kepada warga emas yang tiada waris atau sumber pendapatan.

RSK Kuching kini menempatkan 75 penghuni manakala RSK Sibu menempatkan 33 penghuni, lengkap dengan penjagaan, perlindungan dan rawatan menyeluruh, katanya.

Selain itu, 29 Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) dan lapan Pusat Perkhidmatan Warga Emas (PPWE) dibuka di seluruh negeri bagi memupuk penglibatan sosial dan kesejahteraan komuniti. “PAWE dan PPWE bukan sahaja menjadi tempat aktiviti sosial, malah juga pusat sokongan komuniti yang sangat diperlukan oleh warga emas,” jelasnya.

Beliau menekankan pelaksanaan program Khidmat Bantu di Rumah (KBDR), yang disokong sukarelawan JKMS, bagi membantu warga emas dan Orang Kelainan Upaya (OKU) yang tinggal bersendirian.

Setakat 30 Oktober 2025, seramai 665 warga emas disantuni melalui KBDR dengan 250 sukarelawan terlibat, membabitkan perbelanjaan RM2.5 juta.