Legasi Juma’ani diabadikan dalam buku Songket–Keringkam

KUCHING: Usaha Allahyarhamah Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang dalam memartabatkan seni songket dan keringkam terus diperkasakan dengan pelancaran buku The Revival of Sarawak Songket and Keringkam: Honouring Datuk Amar Juma’ani hari ini.

Buku tersebut kemudian disampaikan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah di Dewan Undangan Negeri (DUN).

Abdul Karim berkata, buku berkenaan menjadi rujukan penting yang mendokumentasikan perjalanan pemulihan dua seni warisan tersebut selain menonjolkan peranan besar Allahyarhamah dalam menggerakkan komuniti kraf tempatan.

“Songket dan keringkam memiliki nilai budaya mendalam, mengandungi memori keluarga serta menjadi lambang identiti wanita sejak turun-temurun,” katanya.

Beliau berkata, usaha mengangkat semula seni warisan itu diperkukuh melalui Projek Inovasi Warisan Sarawak: Songket dan Keringkam yang diperkenal pada 2018 di bawah naungan Juma’ani.

Ini merangkumi latihan penggiat kraf, pembangunan reka bentuk, standard mutu, pemasaran, penjenamaan dan perlindungan harta intelek.

“Sehingga 2025, seramai 1,022 penenun dan penyulam dilatih di seluruh negeri termasuk di Kuching, Samarahan, Gedong, Betong, Sibu, Rajang, Limbang dan Lawas. Ini membuktikan keberkesanan ekosistem yang diwujudkan,” jelasnya.

Menurut Abdul Karim, kesinambungan seni songket dan keringkam memerlukan latihan berterusan kepada generasi muda serta pemeliharaan motif tradisi.

Katanya, kementerian bersama Majlis Kraf Sarawak, CENTEXS dan NGO berkaitan akan terus menerajui usaha tersebut bagi menjadikan warisan itu pemangkin pelancongan budaya dan perkembangan ekonomi kreatif negeri.