Sarawak kukuhkan usaha karbon berasaskan hutan

KUCHING: Inisiatif kredit karbon melalui Aktiviti Karbon Hutan memberi peluang kepada Sarawak mempelbagaikan sumber pendapatan negeri melalui penyertaan dalam pasaran karbon antarabangsa, sekali gus mengukuhkan komitmen terhadap pembangunan hijau dan mampan.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, pemaju projek menyediakan latihan dan program pembangunan kapasiti kepada komuniti meliputi teknik penanaman semula hutan, pengurusan nurseri, pemantauan projek, pengurusan sumber hutan secara mampan dan inventori biomas.

“Langkah itu meningkatkan kemahiran dan penglibatan komuniti dalam pengurusan projek karbon serta usaha pemuliharaan alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.59 Tamin Christopher Gira Sambang pada Persidangan DUN Sarawak, hari ini.

Christopher Gira dalam soalan tambahannya bertanya apakah latihan dan program pembangunan kapasiti yang disediakan oleh pemaju projek untuk komuniti dalam pengurusan projek karbon dan penanaman semula hutan.

Beliau menambah, pelaksanaan inisiatif karbon di Sarawak diperkukuh melalui penggubalan The Environment (Reduction of Greenhouse Gases Emission) Ordinance 2023 dan Forests (Forest Carbon Activity) Rules 2022, yang menetapkan semua projek karbon mematuhi Standard Karbon Antarabangsa seperti Verra dan Gold Standard.

Setakat ini, sebanyak sembilan Permit Kajian Karbon Hutan membabitkan 231,983 hektar telah diluluskan, manakala tujuh permohonan baharu sedang dipertimbangkan. Selain itu, satu Lesen Karbon Hutan telah dikeluarkan, dan satu Memorandum Persefahaman antara Sarawak Forestry Corporation (SFC) dan Mubadala Energy ditandatangani pada 6 November 2024.

Len berkata, pemilik tanah NCR yang diwartakan turut berpeluang memohon permit dan lesen karbon sekiranya memenuhi syarat yang ditetapkan.