KUCHING: Kerajaan Sarawak sedang melaksanakan pemasangan mesin juruwang automatik (ATM) dan mesin kitar semula tunai (CRM) di pejabat daerah serta pejabat daerah kecil di seluruh negeri bagi meningkatkan akses perkhidmatan perbankan luar bandar.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala berkata, inisiatif tersebut dilaksanakan dengan kerjasama Bank Negara Malaysia, khususnya bagi kawasan yang masih belum mempunyai perkhidmatan perbankan.
“Setakat ini, sebanyak 19 pejabat daerah dan daerah kecil telah siap dipasang ATM dan CRM di bawah fasa pertama,” katanya ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi pada Persidangan DUN Sarawak Ke-19, di sini hari ini.
Menurutnya, fasa kedua inisiatif berkenaan akan dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13), dengan beberapa kriteria perlu dipenuhi sebelum kelulusan diberikan. Antaranya, ATM dan CRM mesti ditempatkan di bangunan pejabat daerah atau pejabat daerah kecil sebagai sebahagian perkhidmatan kerajaan negeri.
“Bangunan berkenaan juga perlu berada dalam keadaan baik dan selamat serta mempunyai kemudahan utiliti, khususnya perkhidmatan telekomunikasi,” katanya.
Beliau menambah, lokasi terlibat juga perlu mempunyai akses jalan raya yang sesuai bagi memastikan proses pengisian semula wang tunai dapat dilakukan dengan selamat dan terjamin.
