KUCHING: Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) terus memperkukuh komitmennya terhadap pembangunan sosial dan keagamaan melalui penyerahan sumbangan berjumlah RM200,000 kepada Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS).
Majlis penyerahan berlangsung di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini dan disaksikan Premier Sarawak merangkap Pengerusi LAKMNS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Simbolik penyerahan replika cek dilakukan oleh Pengurus Besar Group Stakeholder Relations BPHB merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Bintulu Port, Maslihah Tioh kepada Ketua Pegawai Eksekutif LAKMNS, Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai.
Sumbangan tersebut bukan sahaja mengukuhkan hubungan strategik BPHB dengan LAKMNS, malah mencerminkan sokongan berterusan Yayasan Bintulu Port terhadap usaha pembangunan dan pengimarahan masjid di Sarawak.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Sarawak merangkap Pengerusi BPHB dan Ahli Lembaga LAKMNS, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki; Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali; Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr. Annuar Rapa’aee; Timbalan Menteri Ekonomi merangkap Ahli Parlimen Mukah, Dato Hanifah Hajar Taib; Setiausaha Kehormat LAKMNS, Tan Sri Datuk Amar (Dr.) Abdul Aziz Husain; dan Bendahari Kehormat LAKMNS, Dato Dr. Salihin Abang.
