KUCHING: Sarawak Energy Berhad (SEB) telah memulakan kajian pasaran bagi sistem meter prabayar sejak awal tahun ini sebagai sebahagian usaha meningkatkan keberkesanan penggunaan meter pintar di seluruh negeri.
Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy Berhad dan PETROS), Datuk Ibrahim Baki berkata, kajian tersebut melibatkan beberapa kaedah prabayar bersama pelbagai penyedia perkhidmatan bagi menilai kesesuaian sistem itu dengan infrastruktur meter pintar yang sedang diguna pakai.
“SEB merancang melaksanakan kajian kelayakan pada tahun depan sebelum memulakan projek perintis bagi segmen pelanggan terpilih pada tahun 2027. Kajian dan projek ini akan membantu menangani cabaran, khususnya di kawasan yang mempunyai liputan telekomunikasi rendah atau tidak stabil,” katanya.
Beliau menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Adam Yii Siew Sang pada Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat DUN Sarawak Ke-19, hari ini.
Menurut Ibrahim, kadar pemasangan meter pintar kini berada pada 25 peratus dan disasarkan mencapai 70 peratus menjelang 2030.
Sistem meter prabayar dijangka memberi pelbagai manfaat kepada pengguna termasuk kawalan lebih baik terhadap penggunaan elektrik, perancangan bajet yang lebih efektif serta kemudahan melalui pilihan pembayaran yang lebih fleksibel.
