KUCHING: Kerajaan Sarawak terus menegaskan komitmennya dalam mempertahankan hak rakyat terhadap tanah Adat Bumiputera (NCR) selaras dengan peruntukan undang-undang tanah yang berkuat kuasa.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, melalui Program Pengukuran Tanah NCR Inisiatif Baharu yang bermula pada Oktober 2010 hingga 31 Oktober 2025, sebanyak kira-kira 1,223,646 hektar tanah telah berjaya diukur secara perimeter.
Daripada jumlah itu, sekitar 947,442 hektar telah diwartakan sebagai Rizab Komunal Bumiputera (Pertanian) di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak.
“Kerja-kerja pengukuran ini dilaksanakan berdasarkan permohonan pihak terlibat. Sejak 2017, pengukuran turut memberi tumpuan kepada lot individu bagi tujuan pengeluaran surat hak milik di bawah Seksyen 18,” katanya ketika menjawab usul pada Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 hari ini.
Beliau berkata sehingga 31 Oktober lalu, sebanyak 107,467 lot individu melibatkan 127,016 hektar telah berjaya diukur, dan proses pengeluaran hak milik tanah di bawah Seksyen 18 sedang dan akan diteruskan.
“Saya menggesa penuntut tanah hadir semasa kerja lapangan dijalankan, menanda sempadan dengan jelas dan mengelakkan pertikaian agar pelaksanaan berjalan lancar,” tambahnya.
Mengulas mengenai Skim Penempatan Semula (SPS) dan Skim Pembesaran Kampung (SPK), beliau menjelaskan bahawa program yang mula diperkenalkan sejak Rancangan Malaysia Keempat (RMK-4) itu membuktikan keprihatinan kerajaan dalam membantu rakyat berpendapatan rendah yang memerlukan tanah untuk mendirikan rumah.
Sejak 2018, polisi SPS dan SPK ditambah baik dengan pembangunan infrastruktur spesifikasi baharu merangkumi jalan raya berturap, parit konkrit, sistem retikulasi air, bekalan elektrik serta penyediaan lot yang ditembok, dengan purata kos RM150,000 bagi setiap lot.
“Bayaran premium tanah ditetapkan tidak melebihi RM2,500 bagi setiap lot, dan boleh dijelaskan secara ansuran sehingga tempoh 10 tahun,” jelasnya.
Bagi tempoh RMKe-12 sehingga 31 Oktober 2025, sebanyak 84 projek SPS dan SPK telah diluluskan, menyediakan 8,564 lot kediaman dengan kos keseluruhan dianggarkan RM1.581 bilion.
Daripada jumlah itu, 28 projek telah siap, manakala 54 lagi sedang diteruskan sehingga penghujung RMKe-12 dan memasuki RMKe-13. Dua projek tidak dapat diteruskan berikutan bantahan di peringkat lapangan.
