Sarawak, CUPA bincang perkenalkan intervensi baharu perkasa pencapaian STEM

KUCHING: Perbincangan intensif dengan Cambridge University Press and Assessment (CUPA) diadakan bagi memperkenalkan cadangan dan intervensi baharu untuk mempertingkat pencapaian pelajar dalam Matematik dan Sains di Sarawak.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, ia susulan keputusan Ujian Penilaian Program Dwi Bahasa (UPDLP) mengesahkan wujudnya kelemahan ketara dalam kedua-dua subjek itu.

“Usaha meningkatkan prestasi pelajar ini juga memerlukan kerjasama meluas bersama bukan sahaja daripada guru, malah sektor swasta serta syarikat berasaskan teknologi,” katanya ketika ditemui media selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kerajaan Sarawak, Pertubuhan Aspirasi Guru Sarawak dan ARC Technologies Sdn. Bhd.

Tambahnya, penggunaan platform pembelajaran digital baharu melalui Sarawak Collaborative Learning Interactive Learning Experience (SCALE), dijangka mampu menarik minat pelajar terhadap mata pelajaran STEM.

“SCALE juga berupaya mengurangkan jurang pembelajaran dengan memastikan murid di kawasan bandar dan luar bandar mendapat akses kepada sumber serta peluang yang sama.

“Dalam pada itu, minat pelajar terhadap penggunaan aplikasi dan peranti digital menjadi satu kelebihan yang boleh dimanfaatkan untuk menarik perhatian mereka dalam pembelajaran menerusi SCALE,” katanya.