Sarawak teliti laksanakan Perintah Khidmat Masyarakat mulai 2026

KUCHING: Sarawak sedang meneliti kemungkinan untuk melaksanakan Perintah Khidmat Masyarakat selama maksimum 12 jam dalam tempoh enam bulan terhadap pesalah pembuangan sampah kecil.

Bagaimanapun, ia bergantung kepada kesesuaian negeri serta kemampuan pihak berkuasa tempatan (PBT) melaksanakannya.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian, menegaskan bahawa sebarang dasar baharu hanya akan diterima pakai sekiranya selaras dengan keperluan tempatan dan menghormati autonomi pentadbiran PBT di negeri ini.

“Sarawak sentiasa bersedia menilai amalan baik yang diperkenalkan kerajaan pusat, asalkan ia seiring dengan hala tuju pembangunan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Festival Reka Bentuk Pertubuhan Arkitek Malaysia Cawangan Sarawak (PAMSC) 2025 di Hotel Imperial, hari ini.

Perintah Khidmat Masyarakat yang dijangka berkuat kuasa 1 Januari 2026 itu dirangka sebagai langkah mendidik pesalah supaya lebih peka terhadap kebersihan awam.

Langkah tersebut juga bertujuan mengekang kesalahan berulang dan mengurangkan risiko pencemaran.

Di bawah pelaksanaan yang dicadangkan, pesalah akan diwajibkan memakai jaket khas dan menjalankan kerja pembersihan seperti mengutip sampah, membersihkan longkang dan mengekalkan kebersihan tandas awam sepanjang tempoh hukuman, katanya.