Pengurusan air kunci transformasi tenaga lestari Sarawak

BANGKOK: Setiap langkah untuk membangunkan masa depan tenaga lestari bergantung kepada keupayaan mengurus sumber air dengan cermat, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Menurut beliau, air bukan sekadar sumber asas, tetapi kini menjadi komoditi baharu yang amat penting dalam membina masa depan yang mampan dan berdaya tahan.

“Air ialah sumber kehidupan rakyat Sarawak dan menjadi pemangkin kepada agenda tenaga hijau, daripada tenaga hidro hingga pengeluaran hidrogen,” katanya dalam ucaptama bertajuk ‘Air: Pemacu Masa Depan Sarawak yang Berdaya Tahan dan Lestari’ pada Kongres dan Pameran Air serta Pembangunan (WDCE) 2025 di Bangkok, Thailand.

Persidangan antarabangsa selama lima hari itu berlangsung di Pusat Konvensyen Negara Ratu Sirikit.

Abang Johari turut menggalakkan pemain industri, pelabur dan rakan strategik yang berkongsi visi pertumbuhan mampan dan inklusif untuk bersama-sama menjayakan transformasi sektor air di Sarawak.

“Dengan semangat kerjasama, kita dapat menggabungkan kepakaran dan inovasi untuk meneroka peluang baharu serta mempercepatkan kemajuan,” tegasnya.

“Bersama-sama, kita mampu merapatkan jurang, memacu kepelbagaian ekonomi, mengukuhkan kesejahteraan sosial serta membina ketahanan dan kemakmuran demi masa depan yang lestari untuk rakyat Sarawak,” tambahnya.

Selaras dengan haluan strategik negeri, Sarawak mengamalkan inovasi dan penyelesaian moden untuk mempercepatkan sasaran liputan bekalan air sepenuhnya dan memperluaskan akses tenaga boleh diperbaharui, seiring Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Tahun lalu, Kerajaan Sarawak meluluskan peruntukan RM1.1 bilion bagi program penggantian, penaiktarafan dan pembaharuan paip lama sepanjang 2,700 kilometer (km) di seluruh negeri.

Abang Johari menegaskan bahawa Sarawak komited membangunkan ekonomi hijau yang seimbang antara kemajuan dan pemeliharaan alam sekitar.

Melalui pembangunan tenaga boleh diperbaharui, pengurusan sumber mampan dan amalan rendah karbon, Sarawak berhasrat muncul sebagai peneraju wilayah dalam pertumbuhan hijau. Empangan Batang Ai, Bakun dan Murum menjadi contoh utama penggunaan sumber air secara mampan untuk mencapai campuran tenaga yang diperbaharui.

“Kini, kira-kira 62 peratus tenaga Sarawak dijana daripada sumber diperbaharui, terutamanya hidro,” katanya. Dengan kekuatan tenaga hidro, Sarawak merancang meningkatkan kapasiti kepada 10 gigawatt menjelang 2030 dan 15 gigawatt menjelang 2035, sekali gus mengukuhkan keselamatan tenaga masa depan serta mengorak langkah menjadi ‘Bateri ASEAN’.

Sarawak turut mempergiat pembangunan program bekalan air bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat.

Melalui Pelan Induk Bekalan Air dan Grid Air Sarawak, usaha menambah baik liputan bekalan air sedang dipertingkatkan di seluruh negeri.

Setakat ini, 85 peratus penduduk Sarawak mendapat akses bekalan air, termasuk peningkatan ketara di kawasan luar bandar. Akses air bersih luar bandar meningkat daripada 61.9 peratus pada 2018 kepada 71 peratus kini.

Sarawak juga membangunkan Sistem Bekalan Air Alternatif Sarawak (SAWAS) bagi kawasan luar bandar yang tidak disambungkan ke Grid Air.

Sehingga kini, SAWAS memberi manfaat kepada 2,600 isi rumah di 79 kampung dan rumah panjang. Pada fasa seterusnya, SAWAS merancang memperluaskan liputan ke 1,300 kampung dan rumah panjang lagi.