NANJING: Sarawak berpotensi menarik pelaburan sehingga US$7 bilion (kira-kira RM20 bilion) dalam tempoh 10 tahun hasil kerjasama strategik dengan pemain industri utama China dalam pembangunan Hab Rendah Karbon Kuching (KLCH).
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata keyakinan pelabur asing terhadap KLCH terserlah dengan pemeteraian tujuh Memorandum Persefahaman (MoU) melibatkan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS), China Jiangsu International Economic Technology Cooperation Group Ltd. (CJI) serta tujuh syarikat terkemuka China.
“Minat yang ditunjukkan ini membuktikan KLCH mempunyai potensi besar sebagai hab industri rendah karbon bertaraf global. Dalam masa 10 tahun, kita mengunjurkan potensi pelaburan bernilai US$7 bilion. Pelaburan ini akan membuka banyak peluang pekerjaan baharu, khususnya pekerjaan berkemahiran tinggi,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani Framework Agreement antara PETROS dan CJI di Ibu Pejabat CJI.
Menurut beliau, suntikan pelaburan tersebut turut menyokong sasaran Kerajaan Sarawak untuk mencapai Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) RM282 bilion menjelang 2030.
“Dengan pelaburan ini dan pelaburan lain yang sedang masuk ke Sarawak, saya yakin sasaran itu boleh dicapai,” ujarnya.
Selain aspek pelaburan, kerjasama PETROS–CJI turut merangkumi pembangunan modal insan, termasuk pemindahan pengetahuan, latihan teknikal dan program pembangunan bakat tempatan.
Abang Johari berkata pendidikan percuma yang disediakan kerajaan negeri membuka peluang kepada pelajar Sarawak mengikuti latihan industri di China pada tahun ketiga pengajian, sebelum diserap bekerja dalam industri berkaitan apabila beroperasi di Sarawak kelak.
Hadir sama pada majlis tersebut ialah Timbalan Menteri Utiliti Sarawak (Sarawak Energy dan PETROS) Datuk Ibrahim Baki, Pengerusi PETROS Tan Sri Datuk Amar (Dr) Hamid Bugo, Pengerusi CJI Song Qinbo, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETROS Dato Janin Girie, dan Presiden CJI Zhu Xingbao.
