Projek tebatan banjir akan dilaksana di Taman Sejoli, Taman Murni, HUS

KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Utara ( DBKU) sudah berbincang dengan Kerajaan Sarawak bagi melaksanakan projek tebatan banjir kilat sekitar bandar raya ini.

Datuk Bandar Kuching Utara, Hilmy Othman berkata, dari perbincangan itu Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan melaksanakan projek terbabit di Taman Sejoli dan Taman Murni yang antara sering dilanda banjir kilat.

“JPS akan juga memulakan projek tebatan banjir di kawasan Hospital Umum Sarawak (HUS),” katanya selepas perhimpunan khas DBKU di sini, hari ini.

Beliau berkata, sebanyak RM150 juta diperuntukkan JPS untuk membantu DBKU dan Majlis Bandaraya Kuching Selatan ( MBKS) menangani masalah banjir kilat di bandar raya ini.

“Sistem peparitan bandar raya setakat ini hanya dapat menampung (air hujan) bawah 100 milimeter (mm), itu memadai bagi satu bandar raya,” katanya.

Beliau berkata, hujan lebat dalam jangka masa panjang di bandar raya ini menyebabkan air melimpah di kawasan rendah tetapi sistem peparitan yang baik membolehkan limpahan terbabit surut.