Kerajaan Sarawak perhalusi proses import, eksport padi

SRI AMAN: Kerajaan Sarawak menerusi Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (M-FICORD) sedang memperhalusi proses bagi membolehkan negeri ini mengimport benih padi serta mengeksport padi dan beras ke luar Sarawak.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perbincangan berhubung perkara itu sedang diadakan bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia, memandangkan ketika ini urusan import dan eksport beras hanya dikendalikan oleh Padiberas Nasional Berhad (BERNAS).

“Sekarang perbincangan sedang dilakukan dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia mengenai pengimportan benih dan pengeksportan beras kerana sekarang ini ia dikeluarkan oleh BERNAS.

“Kita berkehendakkan satu pelaburan di mana lembaga padi kita akan diberi kebenaran untuk mengeksport dan mengimport benih dan beras untuk pengeluaran padi kita,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Kompleks Islam Sarawak Sri Aman, di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata Kerajaan Sarawak pada dasarnya telah bersetuju untuk menubuhkan Lembaga Padi Sarawak yang akan mengurus serta menyelaras industri berkaitan pengeluaran padi dan beras di negeri ini.

Mengulas mengenai Kompleks Islam Sarawak Sri Aman pula, Premier dalam ucapan perasmiannya menyifatkan kejayaan pembinaan bangunan ikonik itu sebagai lambang perpaduan serta pembangunan berterusan yang sedang berlaku, khususnya di kawasan Simanggang, Sri Aman.

Bangunan berkenaan merupakan Kompleks Islam Sarawak yang keempat selepas Kuching, Sibu dan Miri.

Kompleks tersebut turut menempatkan beberapa agensi kerajaan lain termasuk Pejabat Residen Sri Aman, Pejabat Daerah Sri Aman, Pejabat Agama Islam Sarawak Bahagian Sri Aman, Pejabat Hutan Wilayah Sri Aman, Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Sri Aman, Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) serta Kaunter Service Sarawak.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak Datuk Ir Aidel Lariwoo, Ketua Audit Negara Dato Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak (MIS) Datuk Misnu Taha, Ahli Parlimen Batang Lupar Mohamad Shafizan Kepli, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga Dayang Noorazah Awang Sohor, Residen Bahagian Sri Aman Mahra Salleh, Pengurus Besar Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) Datu Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie serta tetamu lain. – UKAS