KUCHING: Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menggesa rakyat Sarawak, khususnya golongan belia, agar memanfaatkan sepenuhnya peluang Skim Pengajian Tinggi Percuma Sarawak (FTES) demi masa depan Sarawak yang gemilang.
Pergerakan Pemuda Parti PBB yang menyambut baik inisiatif itu merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak pimpinan Premier Sarawak atas pelaksanaan skim itu yang akan bermula pada tahun 2026.
Dalam satu kenyataan, Pergerakan Pemuda berkata, inisiatif ini merupakan bukti komitmen Kerajaan Sarawak memperkasa modal insan, memperluas akses kepada pendidikan tinggi, menjaga kebajikan dan kesejahteraan rakyat secara menyeluruh serta konsisten.
“Skim ini menjadikan Sarawak sebagai negeri pertama di Malaysia yang menawarkan pendidikan tinggi secara percuma kepada anak-anak Sarawak di universiti milik kerajaan negeri.
“Langkah bijak ini akan mengurangkan tekanan kewangan kepada keluarga pelajar dan membuka peluang kepada generasi muda untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik. Ia demi menjamin masa depan cerah dalam pembentukan karier anak-anak Sarawak, katanya.
Selain itu, Kerajaan Sarawak juga komited untuk menyalurkan Bantuan Kewangan Khas (BKK) kepada lebih 42,000 pelajar Sarawak di institusi pengajian tinggi (IPT).
Ini jelas menzahirkan keprihatinan berterusan terhadap keperluan pelajar tanpa mengira latar belakang.
Pergerakan Pemuda sehubungan itu yakin bahawa pelaburan besar dalam agenda pemerkasaan pendidikan di wilayah ini adalah asas kepada pembangunan Sarawak yang inklusif, progresif dan berdaya tahan.
