Stesyen ART Hikmah Exchange siap 2028, capai kemajuan 35%

KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menzahirkan rasa puas hati dengan kemajuan dicapai Sarawak Metro yang membangunkan Projek Sistem Aliran Transit Automasi (ART) di sini.

Beliau berkata, kemajuan 35 peratus yang dicapai setakat ini hendaklah dipercepatkan supaya keseluruhan projek ART itu boleh beroperasi menjelang tahun 2028.

“Kita berharap keseluruhan projek ART siap pada tahun 2028 kerana pada masa itu Sarawak dijangka menganjurkan banyak acara bertaraf antarabangsa,” katanya semasa meninjau tapak pembangunan Stesyen ART Hikmah Exchange di sini, hari ini.

Menurut Abang Johari, Stesyen ART Hikmah Exchange mirip Stesyen KL Central di Kuala Lumpur yang membolehkan orang ramai bergerak dari satu kawasan ke satu kawasan lebih mudah.

Bagaimanapun, katanya, dalam membangunkan Stesyen ART Hikmah Exchange, kebanyakan warisan budaya dikekalkan untuk melambangkan Sarawak kaya dengan budaya.

“Stesyen ART Hikmah Exchange boleh dikatakan sebagai pusat untuk orang ramai memilih tempat ditujui dengan menggunakan ART garisan biru dan garisan hijau,” katanya.

Sebagai misalan, katanya, apabila penduduk dari Samarahan mahu menyaksikan perlawanan bola sepak di stadium negeri, mereka boleh singgah di stesyen berkenaan dan kemudian mengambil ART yang lain ke stadium.

Stesyen ART Hikmah Exchange, tambahnya, adalah satu projek strategik dalam mentransfomasikan bandar raya Kuching menjadi bandar moden.

Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) yang terlibat dalam pembangunan itu, katanya, akan membangunkan semula bangunan Saujana supaya kelihatan lebih moden sesuai dengan rancangan mentransformasi bandar raya ini.

Hadri sama Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Dr. Jerip Susil dan Pengerusi Sarawak Metro, Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Husain.

ART itu adalah sebahagian daripada Sistem Pengangkutan Bandar Kuching untuk menangani masalah kesesakan dan mengurangkan pelepasan karbon kerana menggunakan hidrogen.