DARO: Projek Pembangunan Tebingan Sungai Daro bernilai RM35 juta yang dijangka siap sepenuhnya pada 20 November 2027 bakal menjadi mercu tanda landskap baharu.
Ia sekali gus pemangkin kepada pembangunan ekonomi dan pelancongan di daerah ini.
ADUN Daro, Dr Safiee Ahmad berkata, projek berkenaan akan dilaksanakan dalam tempoh kontrak selama dua tahun.
“Ia merupakan antara usaha berterusan Kerajaan Sarawak memperkukuh pembangunan infrastruktur serta meningkatkan kesejahteraan rakyat, khususnya di kawasan luar bandar dan pesisir sungai,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan Majlis Doa Selamat Mula Kerja Projek Pembangunan Tebingan Sungai Daro, hari ini.
Katanya, pelaksanaan projek tersebut bukan sahaja mencantikkan landskap kawasan sungai, malah berperanan sebagai tarikan baharu yang mampu merancakkan aktiviti ekonomi setempat melalui sektor pelancongan, keusahawanan kecil dan sederhana, serta penyediaan ruang rekreasi untuk kegunaan masyarakat.
“Projek ini diharap dapat menjadi ikon baharu bagi Daerah Daro, sekali gus meningkatkan imej kawasan ini sebagai sebuah daerah yang pesat membangun dan berdaya saing,” ujarnya.
Beliau menegaskan bahawa kejayaan pelaksanaan projek berkenaan amat bergantung kepada kerjasama erat semua pihak termasuk agensi pelaksana, kontraktor, perunding serta sokongan padu masyarakat.
“Saya berharap semua pihak dapat memainkan peranan masing-masing dan memberi kerjasama sepenuhnya agar projek ini dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan, dengan kualiti terbaik serta memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat,” katanya.
