Gagal patuhi garis panduan SCHB, sebuah klinik panel digantung sementara, tiga terima surat amaran

KUCHING: Sebuah klinik panel Program Faedah Kesihatan Warga Emas (SCHB) di bahagian ini, digantung sementara selepas didapati melanggar peraturan program, manakala tiga lagi klinik di Sarikei, Mukah dan Miri menerima surat amaran kerana kegagalan mematuhi terma perjanjian dan garis panduan SCHB.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah, berkata tindakan itu diambil selepas pemeriksaan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan aduan orang awam mendapati pelanggaran serius terhadap perjanjian rasmi antara kerajaan negeri dan klinik panel.

‘’Kesalahan yang dikenal pasti termasuk penyediaan rawatan dan produk perubatan yang tidak mendapat kelulusan, membenarkan kuota SCHB digunakan oleh individu tidak layak, serta ketidakpadanan ubat dengan resit tuntutan,’’ katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Laporan bulanan Jawatankuasa One Stop Committee (OSC) bagi Menangani Isu Dadah dan Substans (MIDS) Sarawak di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.

Beliau menegaskan, tindakan ini menunjukkan kegagalan klinik mematuhi garis panduan, piawaian klinikal dan terma perjanjian SCHB, sekali gus menimbulkan penyalahgunaan kemudahan kerajaan.

Katanya, Kerajaan Saarwak telah memulakan audit dan siasatan dalaman, termasuk penggantungan sementara dan larangan menerima pesakit SCHB sepanjang siasatan dijalankan.

‘’Setakat 19 Disember 2025, seramai 12,234 warga emas telah mendaftar bagi menikmati manfaat SCHB, yang menyediakan rawatan pesakit luar secara tanpa tunai sehingga RM500 setahun untuk warga emas berumur 60 tahun ke atas daripada isi rumah berpendapatan RM7,000 ke bawah.

“Mereka yang menerima bantuan bulanan JKM secara automatik layak, manakala yang lain perlu mengemukakan permohonan.

‘’Program SCHB kini melibatkan 286 fasiliti panel, termasuk 177 klinik perubatan, 97 klinik pergigian dan 12 hospital pakar,’’ katanya.