Joran Bidek Edisi Istimewa 2025 Sebuyau dapat sambutan dari luar Sarawak

SEBUYAU: Pertandingan memancing Joran Bidek Edisi Istimewa 2025 dijuarai Bohari Ali dari Kampung Ladong Sebuyau.

Beliau berjaya menewaskan hampir 330 pemancing lain apabila menaikkan ikan Terusan seberat 1.015 kilogram (kg) sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000.

Tempat kedua disandang Mohd Busrah Sumusi dari Kampung Selangking Simunjan yang juga menaikkan ikan terusan seberat 0.845kg dan membawa pulang RM3,000.

Manakala, Wan Samsudin Wan Dolah dari Kampung Baru Sebuyau, meraih tempat ketiga dengan ikan sembilang 0.365kg dan menerima RM1,000.

Hadiah mereka disampaikan Ketua Kaum Kampung Jalan Giat Mara Sebuyau, Wan Katar Wan Bakar dan pertandingan dianjurkan JKKK Jalan Giat Mara Sebuyau dengan kerjasama Pemuda Parti PBB Kampung Jalan Giat Mara Sebuyau , KRT Jalan Giat Mara Sebuyau dan Giat Mara Batang Lupar.

Pengajuran Joran Bidek 2025 ini yang memasuki edisi keenam mendapat sambutan penyertaan peserta dari seluruh Sarawak termasuk dari Semenanjung Malaysia seperti Johor Baru, Pahang Dan Kuala Lumpur.