Sarawak contoh terbaik masyarakat harmoni, majmuk

SARATOK: Warga Saratok diingatkan agar tidak membiarkan anasir luar memecah-belahkan perpaduan yang dibina sekian lama.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata ini meskipun mereka berbeza bangsa namun semangat toleransi, perpaduan dan saling menghormati diutamakan.

“Keindahan perpaduan itu jelas terserlah semasa musim perayaan seperti Hari Raya, Krismas, Gawai Dayak dan Tahun Baharu Cina diraikan bersama oleh semua lapisan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Sambutan Hari Krismas 2025 di Rumah Anau, Entebu, di sini, semalam.

Mohamad Duri turut menjelaskan Sarawak yang dihuni 27 kumpulan etnik dikenali sebagai wilayah kaya dengan kepelbagaian budaya dan kepercayaan, sekali gus menjadi contoh terbaik keharmonian masyarakat majmuk.