NEW DELHI, India: Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah mengetuai delegasi dari Sarawak dalam rangka lawatan ke New Delhi, India, mulai semalam.
Turut mengiringi Fatimah ialah Presiden Persatuan Wanita India Sarawak (SIWA), Penghulu Lucy Linggam dan ahli-ahli SIWA.
Semasa berada di New Delhi, mereka mengadakan perbincangan konstruktif dengan Pengasas dan Lembaga Amanah Rangkaian Wanita Selatan Asia (SWAN), Profesor Dr Veena Sikri.
Pertemuan itu menandakan kemajuan penting dalam kolaborasi strategik antara SWAN dan SIWA sebagai persediaan menganjurkan Perhimpunan Wanita Antarabangsa Selatan Asia 2026 (SIWA2026) yang akan diadakan di Hotel Riverside Majestic, Kuching, mulai 8 hingga 10 September 2026.
Penganjuran SIWA2026 itu mencerminkan komitmen berterusan Sarawak dalam memperkasakan pembangunan wanita termasuk kepimpinan inklusif dan kerjasama serantau.
Bertemakan ‘From the Himalayas to the Hornbills: The Global Ascent of South Asian Women Leaders,’ perhimpunan itu akan mengumpulkan pembuat dasar, akamedia, pemimpin masyarakat, professional dan diaspora dari seluruh Asia.
Kemuncak SIWA2026 ialah forum bertajuk “Hard Truths and Shared Triumphs from the Diaspora’s Trailblazers,” yang mengetengahkan dialog berkaitan cabaran, ketahanan, identiti dan impak rentas sempadan kepimpinan dalam kalangan wanita Asia di perngkat global.
Prof Dr Veena Sikri mengundang Fatimah yang juga sebagai penaung SIWA untuk turut serta dalam sesi dialog dan konsultasi yang diadakan di New Delhi pada 6 Januari ini.
Penyertaan Fatimah sebagai persiapan awal berkaitan dengan bidang kolaborasi, aturcara program, kerjasama teknikal dan strategi menyeluruh SIWA2026.
