KUCHING: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan akan memantau penempatan yang ditinggal penduduk semasa proses pemindahan banjir bagi memastikan keselamatan harta benda dan keadaan rumah terkawal.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) yang juga Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, jaminan itu disampaikan sendiri oleh wakil PDRM dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) di sini hari ini.
“Langkah pemantauan berterusan amat penting bagi memberi keyakinan kepada penduduk bahawa kediaman mereka selamat sepanjang tempoh ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS).
“PDRM telah memberi jaminan bahawa mereka akan memantau penempatan-penempatan yang ditinggalkan oleh tuan punya rumah bagi memastikan tidak ada kejadian yang tidak diingini berlaku,” katanya kepada media selepas mesyuarat berkenaan.
Terdahulu, Uggah menasihatkan penduduk di kawasan yang sering dilanda banjir agar sentiasa berwaspada serta bersedia menghadapi sebarang kemungkinan semasa Monsun Timur Laut (MTL), termasuk segera berpindah apabila diarahkan pihak berkuasa.
Beliau menegaskan pemindahan awal merupakan langkah pencegahan yang kritikal untuk mengelakkan kejadian tidak diingini, selain membolehkan agensi tindak balas menyalurkan bantuan dengan lebih cepat dan tersusun.
Mesyuarat Penyelarasan Tindakan Agensi Menghadapi MTL 2025/2026 itu diadakan bagi menyelaras kesiapsiagaan semua agensi berkaitan dalam menghadapi MTL yang bermula awal November 2025 dan dijangka berlarutan sehingga Mac tahun ini, dengan risiko banjir meningkat terutama di kawasan rendah.
Turut hadir Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak (Pentadbiran) merangkap Timbalan Pengerusi JPBNS, Datu Felicia Tan Ya Hua; Setiausaha Tetap Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datu Chiew Chee Yau serta Setiausaha Tetap dan Ketua Setiausaha Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak, Abdul Wahab Rahim, dan beberapa ketua jabatan lain.
