Felicia Tan kini Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran)

KUCHING: Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datu Felicia Tan Ya Hua menjawat jawatan sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran).

Beliau yang memulakan tugas pada hari ini, mengambil alih jawatan tersebut daripada Datu Buckland Bangik yang bersara daripada Perkhidmatan Awam Sarawak selepas 37 tahun berkhidmat.

Majlis serah tugas itu disaksikan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki di Wisma Bapa Malaysia hari ini.

Dalam ucapannya, Mohamad Abu Bakar merakamkan penghargaan kepada Buckland atas perkhidmatan serta sumbangan beliau yang lama kepada Perkhidmatan Awam Sarawak.

Beliau menyifatkannya sebagai seorang pemimpin berpengalaman dan berwibawa sepanjang tempoh perkhidmatan.

Beliau berkata, serah tugas tersebut mencerminkan kesinambungan kepimpinan dalam pentadbiran negeri.

Beliau menambah pengalaman luas serta pengetahuan institusi Buckland kekal bernilai dalam menyokong usaha kolektif Perkhidmatan Awam Sarawak.

Sementara itu, beliau turut mengimbau perjalanan panjang perkhidmatan awam Felicia Tan yang memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Tadbir di Sibu pada 1993 sebelum berkhidmat di beberapa daerah termasuk Sarikei dan Sri Aman, seterusnya memegang pelbagai jawatan kepimpinan penting di peringkat bahagian dan jabatan negeri.

Sementara itu, dalam ucapan sulungnya, Felicia Tan menyifatkan pelantikannya sebagai satu detik bermakna, khususnya buat wanita di Sarawak, serta merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak atas kepercayaan yang diberikan.

Beliau berkata, pengalaman luas bekerja di peringkat akar umbi selama lebih dua dekad, termasuk sebagai Penolong Pegawai Daerah, Pegawai Daerah, Residen Bahagian dan Pengarah telah membentuk pendekatan kepimpinannya yang akan dibawa ke peranan baharu di peringkat negeri.