KUCHING: Sarawak dipilih menjadi tuan rumah Asia Pacific Aerospace Conference & Exhibition (APACE) 2026.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, persidangan dan pameran itu bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) mulai 26 hingga 29 Januari ini.
“APACE 2026 memberi penekanan utama kepada pembangunan bakat tempatan dalam bidang aeroangkasa dan penerbangan,” katanya selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Kompleks Satria Pertiwi, Petra Jaya, hari ini.
Beliau menambah, penganjuran APACE 2026 dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak dengan kerjasama ICATS University College, serta mendapat sokongan daripada Business Events Sarawak dan Borneo Business Connect.
Acara tersebut dijangka menarik l lebih 3,000 pengunjung termasuk sekitar 1,000 perwakilan, lebih 50 pempamer dan lebih 60 penceramah berprofil tinggi.
Selain itu, lebih 50 sesi persidangan akan diadakan dengan penyertaan pelbagai organisasi terkemuka seperti National Aerospace Industry Corporation (NAICO Malaysia), NACO Netherlands, Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), Japan Aerospace Exploration Agency (JAXA) serta NOVASPACE dari Perancis.
Roland berkata, kunjungan delegasi tersebut bertujuan menyampaikan jemputan rasmi kepada Premier Sarawak bagi merasmikan APACE 2026.
