KUCHING: Penduduk Kampung Kudei Dungun menggunakan jambatan belian fasa kedua dengan lebih selamat selepas kerja baik pulih jambatan itu siap sepenuhnya.
Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy dan PETROS), Datuk Ibrahim Baki berkata, laluan tersebut menjadi akses lebih 500 penduduk kampung berkenaan.
“Jambatan berharga RM280,000 itu sepanjang 180 meter (m) dengan lebar 1.2 meter itu siap lebih awal daripada jadual asal hasil usaha kontraktor yang dipilih,” katanya pada majlis perasmian projek itu, hari ini.
ADUN Satok terbabit menambah, kerja-kerja fasa kedua bermula pada 4 Julai 2025 dan dijangka siap pada 19 Disember 2025, tetapi berjaya diselesaikan lebih awal.
Beliau berkata, jambatan ini kini lebih selamat, terutama untuk anak-anak ke sekolah.
“Kayu belian yang digunakan dijangka mampu bertahan sehingga 20 tahun, dengan pemantauan berterusan untuk memastikan keselamatan dan keselesaan penduduk kampung.
“Fasa kedua ini merupakan kesinambungan daripada fasa pertama, yang menampung jarak 180 meter dan disiapkan pada 2023,” jelasnya.
