GEDONG: Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (MIPD) bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) memantau tiga projek infrastruktur di kawasan Gedong yang bernilai RM2.8 bilion.
Timbalan Premier Sarawak, yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak (MIPD) Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ia bagi memastik projek tersebut siap mengikut jadual.
Projek terbabit melibatkan Lebuhraya Serian–Gedong–Samarahan sepanjang 45.65 km dan dijadual siap 2028 yang merangkumi lima pakej, cadangan naik taraf Jalan Gedong–Simunjan sepanjang 20.6 km melibatkan dua pakej serta cadangan Jalan Gedong–Semalatong (57.45 km) melibatkan tiga pakej yang keduanya dijadual siap pada 2027.
“Kontraktor telah mula mengambil alih tapak projek dan di beberapa kawasan, kerja-kerja pembinaan telah pun dijalankan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas lawatan ke jambatan kedua di tapak projek Serian-Gedong-Samarahan hari ini.
Uggah berkata, pihaknya telah menerima taklimat terperinci mengenai kemajuan projek dan berharap isu terutamanya berkaitan tanah dapat diselesaikan secepat mungkin bagi membolehkan kontraktor meneruskan pembinaan jalan dengan lancar.
Menurutnya, sebuah jawatankuasa pasukan petugas khas akan ditubuhkan untuk mengadakan mesyuarat harian dan bulanan serta melaporkan kepada beliau setiap dua bulan sekali bagi memastikan projek siap seperti dirancang.
Hadir sama, Timbalan Menteri MIPD Datuk Ir Aidel Lariwoo, Pengarah JKR Datu Dr Cassidy Moris.
