KMKK perlu senaraikan projek terbaik untuk DUN Kalaka

SARATOK: Pemimpin akar umbi perlu lebih proaktif mengenal pasti dan menyenaraikan projek yang memberi impak besar kepada sosioekonomi dan kemudahan asas penduduk di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, ini termasuk semua Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka.

“Saya menyarankan agar semua KMKK bekerjasama menyenaraikan projek yang menjana ekonomi dan menyediakan kemudahan asas terbaik, selaras inisiatif kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang dirangka dalam Bajet 2026,” katanya

Beliau berkata demikian semasa sesi libat urus bersama KMKK dari 14 kampung, termasuk dari kawasan Kupang dan Kaba, di Pusat Khidmat ADUN N.38 Kalaka, di sini, kelmarin.

Mohamad Duri juga menyifatkan KMKK sebagai ‘jambatan’ yang menghubungkan rakyat dengan kerajaan bagi memastikan projek pembangunan berjalan lancar dan memastikan dasar kerajaan difahami komuniti.