PADUM disaran tubuhkan jawatankuasa pemikir, bantu prestasi pendidikan luar bandar

KUCHING: Persatuan Alumni Dayak Universiti Malaya (PADUM) bersama Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Dayak diminta mencari kaedah memperbaiki prestasi pelajar luar bandar Sarawak.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ini penting bagi memastikan pelajar itu termasuk dari komuniti Dayak tidak tercicir menikmati Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) yang mula dilaksanakan tahun ini.

“Saya menggesa PADUM bersama NGO Dayak lain menubuhkan sebuah jawatankuasa pemikir bagi merangka strategi khusus untuk meningkatkan prestasi pelajar luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika majlis makan malam PADUM di Bangunan Unit Untuk Agama-Agama Lain Sarawak (UNIFOR) di sini, malam tadi.

Uggah yang juga Penaung PADUM berkata, jawatankuasa berkenaan perlu meneliti cabaran sebenar dihadapi pelajar pedalaman termasuk aspek akademik, pendedahan kerjaya serta kesiapsiagaan memenuhi syarat kemasukan ke program pengajian di universiti milik Sarawak.

“FTES Sarawak melibatkan pelajar dari negeri ini yang mengikuti pengajian di universiti milik Sarawak iaitu Universiti Curtin Malaysia, Universiti Teknologi Swinburne Sarawak, i-CATS dan Universiti Teknologi Sarawak,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memuji PADUM kerana berjaya mengekalkan kesinambungan persatuan selama 12 tahun di bawah kepimpinan pengerusinya, Cooplay Ngipa Aji, termasuk kejayaan membeli sebuah lot kedai di MJC Batu Kawa sebagai pejabat persatuan.

Bagi memperkukuh operasi dan pelaksanaan program PADUM, Uggah turut bersetuju membiayai dua kakitangan sepenuh masa untuk mengurus pejabat persatuan berkenaan.