KUCHING: Petrolium Nasional Berhad (PETRONS) hari ini menyumbang peralatan perbuatan asas termasuk mesin ultrasound, MacroView Plus Otoscope, vascular doppler dan alat pemantauan tekanan darah, selain kelengkapan bukan perubatan bagi menyokong kelancaran operasi Klinik Kesihatan Batu Kawa di sini.
Pengurus Besar PETRONAS Sarawak, Norazibah Md Rabu menyerahkan sumbangan peralatan perubatan asas itu sambil disaksikan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian di klinik berkenaan.
Dr. Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berucap pada majlis itu menyifatkan inisiatif berkenaan sebagai manifestasi kerjasama strategik berkesan antara sektor korporat dan kerajaan negeri dalam memperkukuh sistem kesihatan awam.
“Sumbangan peralatan perubatan oleh PETRONAS ini bukan sekadar simbolik, sebaliknya mencerminkan komitmen sebenar bahawa setiap pihak mampu menyumbang dalam memperkukuh sistem kesihatan awam mengikut kemampuan masing-masing,” katanya.
Sementara itu, Norazibah berkata sumbangan tersebut selaras dengan aspirasi Kerajaan Sarawak untuk memastikan kesaksamaan akses kepada perkhidmatan kesihatan yang komprehensif dan berkualiti, khususnya di kawasan luar bandar serta kawasan terkesan bencana alam.
Beliau turut memaklumkan bahawa kerjasama PETRONAS bersama Sarawak Badan Amal Tenaga Isteri-Isteri (SABATI) dan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak sejak 2023 memberi manfaat kepada 17 klinik kesihatan luar bandar, dengan keseluruhan 26 klinik dikenal pasti menerima bantuan melibatkan peruntukan kira-kira RM1.3 juta di seluruh Sarawak.
Inisiatif berimpak tinggi ini, beliau berkata turut menyokong pelaksanaan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) dalam usaha membangunkan sistem kesihatan negeri yang lebih berdaya tahan, inklusif dan mampan demi kesejahteraan rakyat Sarawak.
