Sarawak Metro berstatus SOE

KUCHING: Sarawak Metro Sdn Bhd (Sarawak Metro) kini beralih status sebagai Syarikat Milik Kerajaan Negeri (SOE) di bawah Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak (SFS).

Peralihan status itu yang dilaksanakan menerusi penstrukturan strategik Kerajaan Sarawak, menyaksikan Sarawak Metro yang sebelum ini beroperasi di bawah Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) kini berfungsi sebagai sebuah SOE.

Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Metro, Ts. Mazli Mustaffa, berkata langkah berkenaan merupakan keputusan strategik Kerajaan Sarawak bagi memperkukuh penyelarasan tadbir urus korporat serta hala tuju pembangunan syarikat.

“Ini merupakan fasa yang amat mengujakan buat Sarawak Metro, namun pada masa sama membawa tanggungjawab lebih besar dengan banyak pencapaian yang perlu direalisasikan pada tahun ini dan tahun-tahun akan datang,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau turut menegaskan komitmen berterusan Sarawak Metro dalam mentransformasikan sektor pengangkutan awam di Kuching.

Menurutnya, tahun ini dijangka menjadi tempoh mencabar berikutan Sarawak Metro sedang melaksanakan kerja-kerja infrastruktur berskala besar bagi Projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS), dengan fasa pertama operasi Autonomous Rapid Transit (ART) disasarkan bermula menjelang penghujung tahun 2026.

Pembinaan laluan ART telah bermula sejak dua tahun lalu, bermula dengan Laluan Biru, diikuti Laluan Merah yang merangkumi pembinaan stesen serta lorong khas bagi rangkaian ART, kata Mazli.

Selain itu tambahnya, Sarawak Metro turut melaksanakan pembinaan depot ART KUTS yang terletak di Rembus, Kota Samarahan, sebagai sebahagian daripada persediaan bagi operasi sistem pengangkutan awam moden di bandar raya Kuching.