DARO: Penduduk di daerah ini dinasihat supaya terus berwaspada berikutan kemungkinan berlakunya gelombang kedua banjir, walaupun paras air di beberapa kawasan dilaporkan semakin surut.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr Safiee Ahmad berkata, keadaan banjir di Kampung Pangtray yang sebelum ini terputus hubungan hampir seminggu akibat hujan berterusan kini menunjukkan perkembangan positif susulan cuaca baik sejak semalam.
“Walaupun keadaan semakin pulih, risiko gelombang kedua banjir masih wujud memandangkan Monsun Timur Laut dijangka berlarutan sehingga Mac, khususnya jika hujan lebat berlaku serentak dengan air pasang besar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika meninjau keadaan banjir serta menyampaikan bantuan kepada penduduk terjejas di Kampung Pangtray, hari ini.
Dr Safiee turut menasihatkan penduduk supaya sentiasa mengikuti ramalan cuaca dan mematuhi arahan pihak berkuasa.
