Penduduk lega, projek sambungan elektrik Rumah Rimbu Guntor bakal dilaksana

ROBAN: Pusat Khidmat ADUN Kalaka mengumumkan bantuan penyambungan bekalan elektrik melalui skim Caj Sambungan Bantuan Dana Kerajaan (CCGFA) kepada Rumah Rimbu Guntor Tinting Balai Nyumpit Sungai Engkabang

Projek tersebut akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

​Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri menegaskan inisiatif ini bukti keprihatinan Kerajaan Sarawak pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam merapatkan jurang kemudahan asas antara bandar dan luar bandar.

​Projek ini melibatkan pelaburan besar dengan anggaran kos pengecas sambungan berjumlah RM22,810, manakala peruntukan bagi kerja pendawaian dalaman pula mencecah RM26,280 demi memastikan keselamatan penduduk.

​”Kerja-kerja pelaksanaan akan dimulakan segera. Fokus utama kita adalah keselesaan dan kualiti hidup penduduk rumah panjang ini,” ujar beliau semasa sesi dialog di Rumah Rimbu Guntor Tinting Balai Nyumpit Sungai Engkabang, hari ini.

​Majlis tersebut turut dihadiri wakil Sarawak Energy Berhad (SEB) dan Kementerian Utiliti dan Komunikasi (MUT) bagi memberikan penerangan teknikal serta menjawab kemusykilan penduduk mengenai infrastruktur setempat.

​Selain isu elektrik, sesi dialog itu menjadi platform penduduk menyuarakan keperluan mendesak lain seperti bekalan air bersih, capaian internet, dan liputan telekomunikasi yang lebih stabil.