SABERKAS anjurkan 310 aktiviti seluruh Sarawak, suara belia didengari

SIBU: Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) mendekati ahli-ahli di peringkat cawangan selepas setiap mesyuarat utama, kata presidennya, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Langkah itu katanya, bagi memastikan suara belia terus didengari dan program yang dilaksanakan relevan dengan keperluan semasa.

Menurutnya, dalam setahun pertubuhan itu menganjurkan 310 aktiviti di seluruh Sarawak, hampir setiap hujung minggu program dijalankan.

“Aktiviti yang dilaksanakan merangkumi bantuan bencana, program kebajikan, pembangunan belia dan wanita serta inisiatif penyatuan masyarakat berbilang kaum, sejajar dengan realiti Sarawak yang mempunyai 34 suku kaum. Ini mencerminkan betapa aktifnya Saberkas di peringkat zon dan cawangan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis High Tea Bersama SABERKAS Cawangan Zon Tengah di sebuah hotel terkemuka, di sini hari ini.

Abdul Karim yan juga Menteri Sukan dan Pembangunan Usahawan itu memberitahu, SABERKAS mendapat pengiktirafan pelbagai pihak termasuk badan belia di peringkat persekutuan, hasil keupayaan organisasi itu mengurus program, kewangan dan kebajikan ahli secara berkesan.

“SABERKAS bukan sekadar sebuah pertubuhan belia biasa. Keanggotaan kita merangkumi pelbagai kaum dan latar belakang. Fokus kita adalah menyatukan rakyat dan membina kepimpinan belia dengan ‘Sarawakian outlook’ yang memikirkan kepentingan semua komuniti,” ujarnya.

Karim turut memaklumkan bahawa kedudukan kewangan SABERKAS stabil dan terus menunjukkan peningkatan setiap tahun, hasil pelaburan dan pengurusan dalaman yang berhemah, sekali gus membolehkan dana disalurkan secara konsisten kepada cawangan bagi melaksanakan aktiviti.

Pada majlis itu, beliau turut disampaikan cek cura berjumlah RM491,000 kepada 24 SABERKAS Cawangan Zon Tengah.

Turut hadir ialah Setiausaha Agong SABERKAS, Dr Safiee Ahmad, Naib Presiden SABERKAS, Datuk Michael Tiang Ming Tee, Setiausaha Penganjur, Royston Valentine serta yang lain.