SARATOK: Sasaran liputan 100 peratus bekalan elektrik di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka akan menjadi kenyataan apabila elektrik 24 jam daripada grid Sarawak Energy Berhad (SEB) ke Rumah Rimbu Guntor dan Rumah Lawat Ingkok siap pada tahun ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, pelaksanaan projek itu antara keutamaan beliau selaras dengan aspirasi Kerajaan Sarawak dalam merealisasikan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), khususnya dalam memastikan kesejahteraan dan kemajuan komuniti luar bandar.
Menurutnya, komitmen utama di DUN Kalaka adalah memastikan semua kampung dan rumah panjang menerima bekalan elektrik 24 jam sama ada melalui sambungan grid Syarikat SESCO Berhad (SESCO) atau menerusi pelaksanaan Skim Bekalan Elektrik Luar Bandar Alternatif Sarawak (SARES).
Beliau berkata demikian selepas mengadakan sesi dialog bersama penduduk di dua rumah panjang, iaitu Rumah Rimbu Guntor Tinting Balai Nyumpit, Sungai Engkabang, Roban pada sebelah pagi, diikuti sesi dialog di Rumah Lawat Tinting Linggong, Krian, Saratok pada sebelah petang, semalam.
Mohamad Duri menegaskan, pelaksanaan projek bekalan elektrik rumah panjang berkenaan akan dilaksanakan tahun ini dan berharap kerjasama penuh daripada pihak SESCO serta kontraktor ATT bagi memastikan projek dapat disiapkan mengikut jadual.
Sesi dialog dan pencerahan pelaksanaan projek bekalan elektrik melalui subsidi skim Caj Sambungan Bantuan Dana Kerajaan (CCGFA) di Rumah Lawat Tinting Linggong itu turut memberi ruang kepada penduduk untuk memahami proses pelaksanaan serta manfaat jangka panjang projek berkenaan.
Sesi tersebut turut disertai Kaunselor Kasdi Pandi, Tuai Rumah Ikom Senyawan, wakil Sarawak Energy Berhad, Kementerian Utiliti dan Komunikasi (MUT) serta Pejabat Daerah Saratok, dan dipengerusikan oleh Pegawai Tadbir Menguasa Daerah Kecil Nanga Budu yang mewakili Pegawai Daerah Saratok, Hatta Adenan.
