KUCHING: Projek pembinaan jalan baharu menghubungkan Kampung Bako dan Kampung Buntal sejauh 8.5 kilometer mencatat kemajuan memberangsangkan apabila mendahului jadual pelaksanaan.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (Pembangunan Infrastruktur), Datuk Ir Aidel Lariwoo berkata, kemajuan fizikal projek kini mencapai 28.65 peratus berbanding sasaran asal 15.37 peratus bagi tempoh sama, sekali gus mendahului jadual hampir empat bulan.
“Projek bernilai RM123 juta itu melibatkan pembinaan jalan utama dan laluan penghubung di Buntal serta Kampung Bako, dilaksanakan dalam tempoh kontrak 33 bulan bermula 7 Oktober 2024 dan disasarkan siap pada April 2028, namun berpotensi disiapkan lebih awal,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja di tapak projek berkenaan di sini, pagi tadi.
Menurutnya, pelaksanaan projek setakat ini berjalan lancar tanpa masalah besar bekalan bahan binaan, walaupun terdapat isu hak milik tanah sepanjang kira-kira 600 meter (m) di kawasan Buntal yang sedang diuruskan oleh Jabatan Tanah dan Survei bersama Jabatan Kerja Raya (JKR).
Aidel berkata, jalan utama dibina mengikut piawaian JKR R3 manakala jalan penghubung mengikut spesifikasi JKR R1, dengan kaedah pembinaan khas digunakan di kawasan tanah gambut bagi memastikan kestabilan struktur.
Katanya, apabila siap kelak, laluan ini akan menghubungkan Bako secara terus ke Buntal dan bersambung dengan projek jalan berkembar Bulatan Yayasan Sarawak–Santubong, sekali gus memendekkan masa perjalanan kepada sekitar 30 minit serta memberi manfaat kepada penduduk dan pembangunan sekitar.
