SARIBAS: Pembinaan bangunan baharu Sekolah Kebangsaan (SK) Sebemban bernilai hampir RM10 juta di sini, siap sepenuhnya.
Ia kini dilengkapi blok akademik tiga tingkat, prasekolahserta sistem infrastruktur moden bagi memberi keselesaan kepada 72 murid serta warga pendidik.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, Datuk Mohammad Razi Sitam berikutan itu meminta pihak sekolah segera berpindah ke bangunan baharu terbabit.
“Segera berpindah ke bangunan baharu ini sebelum majlis pembukaan rasmi yang dijadual pada 12 Januari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Penyerahan Projek Siap SK Sebemban, di sini hari ini.
Dengan siapnya SK Sebemban, Razi turut membawa suara rakyat kepada Kementerian Pendidikan (KPM) agar terus memberi tumpuan kepada sekolah daif lain di kawasan sekitar seperti di Kampung Buda, Tanjung Assam, dan Supa.
Selain itu, beliau juga memaklumkan projek menaik taraf SK Datuk Bandar Debak sebagai sekolah kluster besar kini berjalan lancar.
“Tender projek dijangka dikeluarkan selewat-lewatnya pada tahun ini,” tambahnya.
