KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah diberikan taklimat operasi AirBorneo yang mengambil alih operasi Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) dari MASwings hari ini.
Taklimat itu disampaikan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki yang mengadakan kunjungan hormat kepada Setiausaha Kerajaan Sabah, Datuk Seri Panglima Sr. Safar Untong, di Menara Kinabalu, di sini.
Abu Bakar yang juga Pengerusi AirBorneo memaklumkan bahawa langkah tersebut penting bagi memastikan kelangsungan serta peningkatan kualiti perkhidmatan udara di Sabah dan Sarawak, khususnya di luar bandar dan pedalaman di samping memperkukuh keterhubungan kedua negeri.
Selain itu, kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai kepentingan bersama dalam memperkukuh integrasi wilayah Borneo serta langkah-langkah strategik bagi memastikan pembangunan sosio-ekonomi rakyat di kedua-dua negeri terus diperkasakan.
Turut menyertai kunjungan beliau ialah Peguam Besar Negeri Sarawak, Dato Sri Saferi Ali; Setiausaha Kewangan Negeri, Dato Sri Dr. Wan Lizozman Wan Omar; Timbalan Setiausaha Kewangan Negeri, Datu Hasmawati Sapawi; serta Ketua Pegawai Eksekutif AirBorneo, Megat Ardian Wira Mohd Aminuddin.
