Jambatan Rambungan dijangka siap hujung 2026, prestasi projek memberangsangkan

KUCHING: Jambatan Batang Rambungan dekat sini yang kini siap 65.95 peratus dijangka siap sepenuhnya menjelang hujung tahun 2026.

Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Ir. Aidel Lariwoo berkata, prestasi semasa projek menunjukkan perkembangan memberangsangkan.

“Kemajuan fizikal projek pembinaan jambatan bernilai RM82 juta itu berada dalam landasan pelaksanaan yang ditetapkan,” katanya kepada media semasa mengadakan lawatan kerja ke tapak pembinaan jambatan itu di sini, hari ini.

Jambatan Rambungan yang merupakan komponen utama laluan pertama projek Jalan Pesisir Sarawak, katanya, dijangka boleh digunakan menjelang hujung tahun 2026 iaitu lebih awal daripada jadual asal pada Mei 2027.

Meskipun pernah berdepan sedikit kelewatan sebelum ini dan berdasarkan perkembangan terkini dan komitmen kontraktor, beliau yakin jambatan itu dapat disiapkan penghujung tahun 2026.

Aidel berkata, jambatan sepanjang 560 meter (m) itu dibina menggunakan kaedah jambatan berkabel dengan sembilan kabel pada setiap pylon merupakan jambatan utama serta ikonik bagi laluan Sempadi–Lundu di bawah projek jalan pesisir Sarawak.

Mengulas mengenai punca kelewatan sebelum ini, Aidel menjelaskan projek berkenaan pernah berdepan beberapa isu teknikal termasuk penggunaan bahan binaan Pulverised Fuel Ash (PFA) dalam campuran konkrit yang memerlukan kelulusan khas.

Namun, semua isu teknikal itu berjaya diselesaikan, jelasnya.

Tambah beliau, peningkatan kemajuan fizikal projek dijangka berlaku secara lebih ketara selepas Mei ini apabila komponen utama seperti kabel jambatan tiba dan kerja-kerja pemasangan pylon serta dek dapat dilaksanakan sepenuhnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa projek jalan dua lorong sepanjang kira-kira tujuh kilometer (km) yang menghubungkan kawasan tersebut kini berada pada peringkat tender dan dijangka dilaksanakan dalam fasa pertama Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).