SARATOK: Jambatan Sungai Krian bernilai RM112.4 juta disasar dibuka kepada trafik pada 15 Mac ini, sekali gus sebagai hadiah istimewa sempena Hari Raya kepada rakyat di Betong dan kawasan sekitarnya.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pembukaan jambatan yang panjangnya 690 meter (m)
itu sebelum Aidilfitri bakal memudahkan pergerakan harian penduduk serta merancakkan ekonomi setempat menerusi peningkatan akses dan jaringan perhubungan di sekitar Sungai Krian.
Beliau yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak berkata, projek berkenaan akan menggantikan kebergantungan penduduk terhadap perkhidmatan feri, sekali gus memendekkan masa perjalanan dan meningkatkan keselesaan pengguna jalan raya.
“Dengan siapnya jambatan ini, perjalanan akan lebih cepat dan lancar.
“Ia bukan sahaja memberi kemudahan kepada rakyat, malah menyokong pembangunan sosioekonomi di Betong dan kawasan berhampiran,” katanya.
Uggah berkata demikian ketika merasmikan upacara pencantuman Jambatan Sungai Krian di sini, hari ini.
Majlis berkenaan turut dihadiri Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Ir Aidel Lariwoo; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro, Dato Razaili Gapor; ADUN Kalaka, Mohamad Duri; ADUN Krian, Friday Belik; Setiausaha Tetap kementerian, Datu Chiew Chee Yau; Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Datu Dr Cassidy Morris serta Residen Betong, Datu Richard Michael Abunawas.
Menurut Uggah, pembinaan Jambatan Sungai Krian merupakan antara inisiatif strategik Kerajaan Sarawak bagi mempertingkat mobiliti rakyat, memperkukuh hubungan antara komuniti serta membuka lebih banyak peluang pertumbuhan ekonomi melalui sistem pengangkutan yang lebih efisien dan berdaya saing.
Beliau menambah, kerajaan negeri komited memastikan projek infrastruktur utama dilaksanakan mengikut jadual demi kesejahteraan rakyat serta pembangunan seimbang di seluruh Sarawak.
Foto: JKR Sarawak
