KOTA SAMARAHAN: Penduduk Kampung Quop menarik nafas lega apabila jambatan utama yang runtuh akibat kejadian tanah susur sebelum ini siap dibina semula dan sedia untuk digunakan.
Projek pembinaan semula jambatan berkenaan berjaya direalisasikan menerusi sinergi erat pelbagai pihak, termasuk sumbangan berjumlah RM50,000 daripada sektor swasta serta penglibatan aktif Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Quop.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, Datuk Hamzah Ibrahim berkata, jambatan tersebut merupakan nadi penduduk kampung kerana menjadi laluan penting yang menghubungkan mereka dengan sekolah, tempat kerja serta akses perkhidmatan kecemasan.
“Alhamdulillah, pembinaan semula jambatan ini berjaya dilaksanakan melalui kerjasama pelbagai pihak.
“Ia bukan sekadar kemudahan fizikal, tetapi merupakan penghubung utama kepada kehidupan seharian penduduk Kampung Quop,” katanya semasa meninjau tapak jambatan tersebut, baru-baru ini.
Beliau turut memuji semangat gotong-royong dan komitmen tinggi komuniti setempat yang bersama-sama menjayakan kerja-kerja pembinaan sehingga projek tersebut dapat disiapkan dengan sempurna.
Menurut Hamzah, kerosakan jambatan sebelum ini memberi kesan terhadap mobiliti dan aktiviti ekonomi penduduk, justeru tindakan segera diambil bagi memastikan kesejahteraan rakyat tidak terus terjejas.
Beliau turut memberi jaminan bahawa aspek infrastruktur di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Stakan akan terus diberi perhatian bagi memastikan keselamatan, keselesaan dan kebajikan penduduk sentiasa terpelihara.
Hamzah menambah, kejayaan menyelesaikan isu jambatan Kampung Quop ini membuktikan bahawa kolaborasi erat antara wakil rakyat, sektor korporat dan komuniti setempat mampu mempercepatkan pembangunan infrastruktur luar bandar tanpa bergantung sepenuhnya kepada peruntukan kerajaan.
Tinjauan tersebut turut dihadiri Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Afiq Fikri Brahim; Setiausaha Parti PBB Cawangan N17 Stakan, Sarkawi Suhaili; serta Ketua Kaum Kampung Quop, Bonita Andrew.
