900,000 hektar NCR diwarta pemilik sah

MUKAH: Seluas 1.2 juta hektar tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) disukat secara perimeter sejak 2010, dengan lebih 900,000 hektar daripadanya diwartakan sebagai pemilikan sah.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kos melaksanakan program itu ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan dengan lebih RM40 juta diperuntuk setakat ini.

Anggaran perbelanjaan tahunan bagi menjayakan program berkenaan adalah sekitar RM30 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Warta Rizab Komunal Bumiputera (Pertanian) Seksyen 6 dan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tellian, di Dewan Serbaguna CENTEXS Mukah, di sini, hari ini.

Awang Tengah yang juga Menteri Perancangan Sumber dan Pembangunan Bandar Kedua berkata, inisiatif tersebut akan memastikan pengiktirafan dan perlindungan hak milik tanah secara sah di sisi undang-undang.

Katanya, penyukatan tanah NCR yang dilaksanakan sejak 2010 itu menggunakan pendekatan berperingkat, iaitu penyukatan secara perimeter dan penyukatan secara individu.

“Pemilik yang berminat boleh menghantar permohonan kepada Jabatan Tanah dan Survei (JTS) dan setiap permohonan diselidik serta diluluskan bagi pelaksanaan penyukatan secara perimeter di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri.

“Selepas penyukatan perimeter selesai, tanah akan diwartakan sebagai bukti pemilikan sah dan sekiranya ingin meneruskan penyukatan secara individu, permohonan baharu perlu dibuat dan surat hak milik akan dikeluarkan di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri,” katanya.

Selain itu katanya, seramai 467 lagi pegawai lapangan ditambah untuk ditugaskan bagi memastikan kelancaran program berkenaan.

Bagaimanapun tegasnya, bagi pemohon yang terlibat dalam pertikaian mahkamah perlu menarik balik kes tersebut sebelum menyertai program ini.

Terdahulu, beliau menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Skim Pembesaran Kampung (SPK) Tellian Tengah Fasa 1 yang melibatkan 168 lot.

Hadir sama Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian Royston Valentine, ADUN Balingian Abdul Yakub Arbi, Residen Bahagian Mukah Datu Kueh Lei Poh, Pengarah Jabatan Tanah dan Survei Sarawak Datu Awang Zamhari Awang Mahmood dan Penguasa Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Mukah Dahari Anis.