Masalah air Sungai Mata akan dikemuka kepada agensi berkaitan

KOTA SAMARAHAN: Segala maklum balas berkaitan isu bekalan air di Kampung Sungai Mata di sini akan dibawa ke peringkat berkaitan termasuk pihak berkuasa bekalan air.

Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri, Dato Idris Buang berkata, masalah itu akan turut dibawa kepada agensi teknikal terbabit bagi tindakan susulan sewajarnya.

Isu bekalan air yang dihadapi penduduk Kampung Sungai Mata, di sini tetap diberi perhatian, katanya semasa meninjau situasi permasalahan itu.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muang Tuang menegaskan, pendekatan turun padang amat penting bagi memastikan setiap isu yang dibangkitkan rakyat dapat difahami secara menyeluruh.

Ia sekali gus membantu pihak berkaitan merangka penyelesaian yang lebih tepat dan berkesan berdasarkan situasi sebenar di lapangan, katanya semasa berdialog dengan penduduk kampung tersebut, di sini semalam.

Lawatan beliau ke lapangan disusuli dengan sesi pertemuan bersama penduduk kampung bagi mendengar secara langsung rungutan, keluhan serta pandangan masyarakat setempat berhubung masalah gangguan bekalan air yang berlarutan.

“Masalah bekalan air ini bukan sekadar isu teknikal, sebaliknya melibatkan keperluan asas rakyat,” katanya.