Projek pembangunan DUN Tellian dijangka bermula tahun ini

MUKAH: Projek pembangunan berimpak tinggi membabitkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM40 juta di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tellian dijangka dilaksanakan tahun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata antaranya projek itu ialah Tebingan Sungai Mukah dan projek Benteng Hakisan Sungai Tellian dan Sungai Penakub.

“Pelaksanaan projek ini membuktikan Kerajaan Sarawak bukan sahaja merangka dasar, malah melaksanakannya secara berterusan,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Pecah Tanah Skim Pembesaran Kampung (SPK) Tellian Tengah Fasa 1 serta Penyerahan Warta Rizab Komunal Bumiputera (Pertanian) Seksyen 6 dan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak di sini, hari ini.

Majlis disempurnakan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan di Dewan Serbaguna CENTEXS Mukah.

Royston berkata, selain itu terdapat juga projek dirancang di bawah Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA) termasuk pembinaan Mukah Integrated Market, Medan Selera Kala Dana Mukah, Anjung Ria Senaga serta Benteng Hakisan Pantai Kuala Petanak.

Turut hadir Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) Datuk Abdullah Saidol, ADUN Balingian Abdul Yakub Arbi, Residen Bahagian Mukah Datu Kueh Lei Poh, Pengarah Jabatan Tanah dan Survei Sarawak Datu Awang Zamhari Awang Mahmood serta Penguasa Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Mukah Dahari Anis.