AirBorneo tingkat sistem daftar masuk dalam talian, tambah baik proses diskaun tambang warga emas

KUCHING: Syarikat penerbangan AirBorneo yang baharu beroperasi masih memberi diskaun tambang kepada warga emas berumur 60 tahun ke atas.

Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin, berkata proses mendapatkan diskaun sebanyak 50 peratus masih dilakukan secara manual atau melalui pusat panggilan semasa daftar masuk dan belum tersedia secara dalam talian.

“Kami akan menambah baik perkara tersebut dan menjadikannya boleh dilaksanakan secara dalam talian pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK), di sini, hari ini.

Beliau menjelaskan, AirBorneo sedang giat menambah baik fungsi sistemnya bagi membolehkan perkhidmatan daftar masuk dalam talian diperluaskan.

Ini termasuk penerbangan ATR, sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan kecekapan serta kemudahan kepada penumpang.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AirBorneo, Megat Ardian Wira Mohd Aminuddin berkata jumlah penumpang harian mereka adalah purata sekitar 2,000 orang.

“Oleh itu, bagi tempoh kira-kira dua minggu AirBorneo memulakan operasi jumlah keseluruhan penumpang dianggarkan antara 20,000 hingga 25,000 orang,” ujarnya.

Menurutnya, fokus utama syarikat ketika ini adalah memastikan perkhidmatan udara luar bandar (RAS) berjalan lancar sebelum memberi tumpuan kepada penambahbaikan perkhidmatan serantau pada fasa seterusnya.