Sarawak perkukuhkan penglibatan Mesyuarat Tahunan Forum Ekonomi Dunia di Davos

SWITZERLAND: Penyertaan Sarawak dalam Mesyuarat Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2026 di DP World House, Davos, Switzerland semalam mengukuhkan penglibatan di pentas antarabangsa.

Pada mesyuarat tersebut, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel dijemput sebagai ahli panel dalam sesi bertajuk “Industrial Clusters as Engines of Transformation”.

Sesi tersebut menghimpunkan penggubal dasar global dan pemimpin industri bagi membincangkan peranan kluster industri dalam meningkatkan daya tahan ekonomi, menyokong peralihan tenaga serta membina ekosistem industri sebagai persediaan masa hadapan dalam landskap rantaian bekalan global yang sentiasa berubah.

Dalam perbincangan itu, Muhammad Abdullah berkongsi pengalaman Sarawak dalam memajukan Kluster Industri Bintulu, dengan menekankan pendekatan pembangunan bersepadu yang menyelaraskan infrastruktur, bekalan tenaga, logistik dan perancangan industri di bawah Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030.

Beliau turut menggariskan usaha Sarawak memacu pertumbuhan industri rendah karbon melalui Dasar Peralihan Tenaga Sarawak, Pelan Hala Tuju Ekonomi Hidrogen Sarawak serta Pelan Induk Kelestarian Sarawak 2030, yang secara kolektif membimbing agenda ekonomi dan kelestarian jangka panjang negeri.

Katanya, kepentingan perlu diberikan kepada mengekalkan tahap amalan tadbir urus yang baik, integriti dan ketelusan yang tinggi.

Sesi berkenaan mengukuhkan kedudukan Sarawak sebagai rakan yang berpandangan ke hadapan dan boleh dipercayai dalam peralihan global ke arah ekosistem industri yang berdaya tahan, rendah karbon dan inklusif, di samping membuka laluan kepada kerjasama antarabangsa yang lebih mendalam di bawah inisiatif transformasi industri Forum Ekonomi Dunia.

Turut mengiringi beliau ialah Setiausaha Tetap Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak (MEESty) Datu Abang Ahmad Abang Morni serta Ketua Bahagian Pembangunan Korporat dan Ekonomi MEESty, Dr Kho Lip Khoon.