Program keusahawan bantu Wanita Bukit Saban jana pendapatan

BETONG: Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Bukit Saban terus memperkasa golongan wanita luar bandar menerusi penganjuran program kemahiran berasaskan keusahawanan bagi meningkatkan pengetahuan serta keupayaan menjana pendapatan sendiri.

Ketua Pergerakan Wanita Cawangan Bukit Saban, Natasha Nasa Douglas berkata, inisiatif tersebut memberi tumpuan kepada latihan praktikal yang diterjemahkan kepada peluang ekonomi, termasuk kemahiran menghasilkan produk makanan seperti bun yang berpotensi dipasarkan.

Menurutnya, program itu membuka ruang kepada wanita luar bandar untuk mempelajari kemahiran asas pembuatan makanan yang boleh diusahakan dari rumah, sebagai pendapatan tambahan keluarga.

“Pendekatan latihan secara praktikal ini membolehkan peserta memahami keseluruhan proses penghasilan produk, sekali gus memberi keyakinan kepada mereka untuk mencuba dan mengembangkan potensi diri dalam bidang keusahawanan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Belajar Membuat Bun yang diadakan di Kampung Sungai Langit, Ulu Layar, di sini, hari ini.

Natasha menjelaskan, seramai 55 peserta menyertai program berkenaan yang turut menekankan pembelajaran berstruktur, disiplin kerja serta pendedahan kepada amalan penyediaan makanan yang lebih tersusun bagi memastikan kualiti produk yang dihasilkan.

Beliau merakamkan penghargaan kepada Yahos School of Skills atas kerjasama dan sumbangan kepakaran dalam menjayakan program berkenaan.