LAWAS: Penduduk disaran turut mengambil peluang hasil pembangunan jalan raya di kawasan Parlimen Lawas.
Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong berkata, antaranya jalan raya menghubungkan Ba’kelalan ke Kalimantan dan Bario yang dilulus.
“Ini akan merancakkan sektor ekonomi setempat khususnya dalam pelancongan dan perdagangan rentas sempadan antara Lawas, Kalimantan, Brunei dan Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas lawatan Tahun Baru Cina ke kediaman Penghulu Liaw Soon Teck di Trusan, di sini.
Selain itu, Henry mahu projek keretapi rentas Borneo atau keretapi trans Borneo diteruskan kerana penting dalam meningkatkan perhubungan antara wilayah di Borneo.
Menurutnya, projek ini juga mempunyai prospek luas untuk mengembangkan ekonomi dalam sektor pelancongan, industri makanan dan perkembangan teknologi di wilayah Borneo itu sendiri.
