Sarawak Energy anjur Majlis Iftar Bersama Premier, himpunkan pemegang taruh

KUCHING: Sarawak Energy menganjurkan Majlis Iftar Bersama Premier dan pemegang taruh di sebuah hotel di sini, malam ini.

Majlis tersebut menghimpunkan kira-kira 400 pemegang taruh utama terdiri daripada kementerian dan agensi kerajaan, rakan industri serta wakil media.

Majlis tahunan ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Sarawak Energy untuk memupuk hubungan dan mengukuhkan kerjasama dengan pemegang taruh utama serta rakan strategik.

Ia sebagai menghargai sokongan berterusan mereka.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hadir pada majlis tersebut. Ketibaan beliau diiringi Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy dan PETROS) merangkap Pengerusi Sarawak Energy, Datuk Ibrahim Baki, Timbalan Menteri (Tenaga) di Jabatan Perdana Menteri Brunei Darussalam, Dato Seri Paduka Awang Mohamad Azmi Mohd Hanifah serta Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy,
Datuk Sharbini Suhaili, ketua bersama ahli-ahli Lembaga Pengarah dan kepimpinan kanan syarikat.

Sharbini berkata, Ramadan memberi peringatan yang tepat pada masanya tentang nilai-nilai yang menjadi panduan kepada Sarawak Energy dalam bekerjasama dengan pemegang taruh dan komuniti di seluruh negeri.

“Kami kekal komited untuk menyediakan tenaga yang boleh diperbaharui, sambil bekerjasama memajukan pembangunan Sarawak demi manfaat komuniti,” katanya.

Selepas berbuka puasa, Premier dan tetamu menunaikan solat Maghrib, Isyak dan Tarawih secara berjemaah yang dipimpin Imam Besar Sarawak, Dato Mustafa Kamal Ahmad Fauzi.